top of page
Post: Blog2_Post
Search

Tarik lesen, senarai hitam agensi pelancongan jika tipu badal haji


PUTRAJAYA: Individu yang menjalankan aktiviti penipuan berkaitan pakej haji dan umrah boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk menarik balik lesen operasi syarikat atau agensi pelancongan boleh disenarai hitam.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya peka berhubung isu penipuan badal haji dan membuat pemantauan bagi mengelak pihak tertentu cuba mengambil kesempatan ketika umat Islam di negara ini menunaikan ibadah berkenaan.


Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau mengesan mana-mana syarikat terbabit melakukan perkara terbabit.

"Sebelum ini kita memang ada mendengar mengenai penipuan badal haji ini, tetapi setakat ini belum terima sebarang laporan lagi.


"Bagaimanapun, (sekiranya ada) kita boleh ambil tindakan mahkamah kerana tindakan yang mereka lakukan keterlaluan, tidak mengikut terma dan syarat pelesenan itu," katanya selepas menyampaikan sijil kepada 333 graduan pada Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), di sini, hari ini.


BH sebelum ini melaporkan beberapa agensi haji dan umrah menawarkan khidmat mengerjakan badal haji musim ini dengan pelbagai pakej dan bayaran murah antara RM1,700 hingga RM3,000 seorang.


Tawaran harga itu dilihat meragukan dan tidak sepadan disebabkan beberapa peraturan ketat ditetapkan Kerajaan Arab Saudi untuk umrah dan haji.


Ini berikutan untuk mengupah penduduk bermastautin di Arab Saudi melakukan ibadah itu, mereka perlu mempunyai permit untuk memasuki Arafah dengan bayaran SR12,000 (RM14,000) seorang berbanding sebelum ini SR2,500 (RM2,900) saja.


Selain itu, terdapat gelang khas yang perlu dipakai jemaah haji untuk melepasi pintu di Arafah bagi mengelakkan lambakan jemaah haji di situ.


Badal haji bermaksud ibadah haji yang diupah kepada seseorang untuk dilaksanakan sebagai ganti kerana halangan tertentu seperti sakit, usia tua (uzur) atau kematian ke atas orang yang seharusnya mengerjakan haji.


Orang yang melaksanakan haji badal pula disyaratkan sudah melaksanakan haji untuk dirinya terlebih dahulu.


Nancy berkata, lebih 1,000 agensi pelancongan yang sedang memohon lesen bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), namun ia perlu melalui beberapa proses sebelum ia boleh diluluskan.


Mengulas konvokesyen berkenaan, Nancy berkata, menerusi sijil yang diterima itu, ia secara tidak langsung dapat memberi pengiktirafan kepada golongan seni di negara ini.


"Ada antara graduan ini sudah lama berada dalam bidang seni, tetapi jika mereka ingin jadi tenaga pengajar, ada segelintir mula mempertikaikan kebolehan mereka dan bertanyakan sijil atau kelulusan.


"Kini dengan adanya program Pensijilan Kemahiran Malaysia Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) ini, mereka sudah boleh diiktiraf menjadi tenaga pengajar," katanya.


Antara penerima SKM-PPT ialah Datuk Syafinaz Selamat, Misha Omar, Jaclyn Victor, Mubarak Majid, Amran Nasruddin dan Zuhairi Ibrahim.


*Artikel ini diterbitkan oleh Berita Harian, 23/06/2022.

Comments


bottom of page